Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Lebih 100 masyarakat Orang Asli termasuk Tok Batin berhimpun di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi bagi membantah pembalakan yang didakwa sudah diluluskan kerajaan negeri di perkampungan mereka sekitar Bidor. Tinjauan Perak Kini mendapati Orang Asli yang terbabit dalam perhimpunan itu tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 9.30 pagi menaiki dua buah bas. Mereka adalah penduduk dari wilayah tanah adat Orang Asli Kampung Chang Lama (Sungai Gepai), Kampung Chang Baru dan Kampung Senta. Selain itu, perhimpunan tersebut turut disertai Tok Batin dari perkampungan Orang Asli Negeri Sembilan, Pahang Kelantan dan Melaka bagi menunjukkan sokongan mereka supaya tanah adat Orang Asli di negeri ini dilindungi. Pada perhimpunan itu, mereka turut menyerahkan dua memorandum bantahan berkaitan pembalakan di kawasan wilayah tanah adat Orang Asli di ketiga-tiga kampung berkenaan dan memorandum membantah pembalakan di wilayah tanah adat Orang Asli di Perak. [caption id="attachment_2448" align="aligncenter" width="300"]
Dahil menyerahkan memorandum bantahan pembalakan di wilayah tanah adat Orang Asli kepada Azlan di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi Isnin.[/caption]
Memorandum itu diserahkan Tok Batin Orang Asli Kampung Chang Lama (Sungai Gepai), Dahil Yok Chopil kepada Pegawai Khas II Menteri Besar Perak, Azlan Aminuddin pada jam 10 pagi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan dan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.
Dalam pada itu, Dahil berkata tujuan mereka berhimpun pada hari ini adalah untuk menyerahkan dua memorandum bantahan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan tidak bersetuju jika pembalakan ini diteruskan kerana bimbang akan menyebabkan bencana alam serta mengancam sumber pendapatan mereka.
"Kami (masyarakat Orang Asli) meminta supaya kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan mengalihkan lokasi pembalakan di kawasan yang tidak dihuni orang asal.
"Jika pembalakan ini diteruskan kami bimbang kejadian banjir besar pada 25 Mei lalu akan berulang kembali susulan aktiviti pembalakan yang telah berlaku di Bidor sejak 30 tahun lalu," katanya.
#PerakKini #OrangAsli #bantah #pembalakan #Bidor #Perak