Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seramai 60 pembeli rumah di D'Aman Residensi Bandar Meru Raya meluahkan rasa kecewa apabila hasrat untuk memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana syarikat pemaju terlibat didakwa gagal menyiapkan projek tersebut mengikut masa dijanjikan.
Lebih merunsingkan pembeli apabila perkara itu sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.
Seorang pembeli, Nor Shidah Zainal Abidin, 63, berkata dia membeli rumah tersebut sewaktu masih bekerja pada 2018 dan bercadang untuk tinggal di situ bersama anaknya selepas bersara.
Bagaimanapun, selepas bersara pada tahun 2019 sehingga kini rumah itu masih belum siap sepenuhnya malah hasrat untuk berhari raya di rumah baharu pada tahun ini juga masih belum tercapai.
"Saya memang merancang untuk tinggal di sini bersama anak selepas bersara memandangkan ia dekat dengan pusara arwah suami di Tanah Perkuburan Islam Bandar Meru Raya ini. Boleh saya ziarah selalu kerana dekat.
Tapi sampai sekarang rumah masih tak siap lagi.
"Sewaktu beli dulu saya sudah bayar deposit sebanyak RM70,000 dan pinjaman bank tinggal dua tahun sahaja lagi untuk tamat.
"Jadi, saya harap semoga rumah ini siap dalam tahun ini juga," katanya kepada media ketika sidang akhbar di Dewan Serbaguna D'Aman Residensi di sini pada Ahad.
Wakil Jawatankuasa Bertindak berkaitan isu rumah berkenaan, Mohd Zulfadli Abd Khir berkata, setakat ini kira-kira 40 pembeli sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang tindakan ke atas pemaju terlibat.
Katanya, peguam yang dilantik sudah menghantar surat tuntutan kepada pihak pemaju sebanyak dua kali pada 23 Februari dan 3 Mei tahun ini namun tiada maklum balas yang diterima.
Tambahnya, pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga memaklumkan pemantauan yang dilakukan Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta pada 12 Januari lalu mendapati tiada sebarang aktiviti pembinaan dijalankan di tapak projek perumahan tersebut.
"Kami sebagai pembeli telah melaksanakan tanggungjawab seperti mana yang dalam perjanjian jual beli rumah berkenaan.
"Malah, setiap bulan, kami telah membuat pembayaran ansuran bulanan kepada institusi-institusi kewangan bagi pembiayaan pembelian rumah-rumah kami," katanya.
Sementara itu, dalam peguam Muhd Daniel Baharudin dari Tetuan Yusfarizal Aziz dan Zahid yang mewakili sebahagian penduduk memaklumkan ada dalam kalangan pembeli yang hadir pada hari ini masih belum mendapatkan khidmat guaman.
Menurutnya, pembeli-pembeli ini juga hadir untuk mendengar taklimat dan penjelasan jelas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pemaju berhubung perkara tersebut.
#PerakKini #DAmanResidensi #projeksakit #RBZ