LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Zul Ariffin didenda RM30,000, mengaku muat naik kandungan bersifat sumbang

Zul Ariffin didenda RM30,000, mengaku muat naik kandungan bersifat sumbang

Oct 04, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
SEPANG - Pelakon popular, Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik hantaran bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu. Pengakuan dibuat pelakon berusia 36 tahun itu hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar hari ini. Zul didakwa membuat penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi akaun Instagram zul_ariffin dengan niat menyakiti hati orang lain. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam P. Sivaram. Hakim Noorhisham menjatuhkan hukuman denda RM30,000, dan jika gagal membayar akan dikenakan hukuman penjara sembilan bulan. Pada awal tahun lalu, Zul menimbulkan kontroversi apabila didakwa memuat naik video 'babak panas' bersama seorang pelakon wanita sebagai tujuan untuk promosi sebuah drama bersiri dalam Instagram pada Mac lalu. Tertuduh juga telah bertindak pantas dengan memadam segera kandungan tersebut pada 19 Mac 2022. - RTM    

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.