Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Warga Ipoh diminta bersabar kerana agihan tong sampah percuma yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah dilakukan secara berperingkat.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata program itu diadakan secara berperingkat mengikut kawasan di sekitar bandar raya Ipoh.
"Pada hari ini, sebanyak 850 tong sampah berkapasiti 120 liter setiap satu diedarkan secara percuma kepada penduduk di Kampung Baru Kanthan Baru, Chemor.
"Segala urusan pemasangan roda dan pengagihan tong sampah pada hari ini dilaksanakan penduduk di kampung berkenaan memandangkan kekangan pekerja yang dihadapi MBI.
"Dalam masa sama, penduduk di kawasan berhampiran kampung ini diharap bersabar kerana pemberian tong sampah percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Perak Kini sewaktu menyampaikan tong sampah untuk penduduk di kawasan tersebut.
Hadir sama, Ketua Kampung Kanthan Baru, Y L Chai Yoon Loong dan Ketua MCA Bahagian Tambun, Datuk Hing Thian Kiak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berharap
pemberian tong sampah ini dapat membantu mengatasi masalah sampah haram yang berlaku di sekitar kawasan kampung ini.
"Sehubungan itu, saya meminta supaya penduduk kampung menjaga tong sampah ini sebaik mungkin dan menggunakannya dengan berhemah," katanya.
#PerakKini #MBI #tongsampah #percuma #Ipoh