KUALA LUMPUR - Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondominium dekat Damansara Perdana, Petaling Jaya, sebelum mayatnya ditemui tersangkut di tingkat 20 bangunan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa lebih sejam untuk membawa naik mayat wanita berusia 40 tahun itu.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu kira-kira jam 8.09 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi pada jam 8.25 pagi bertindak menggunakan teknik rope rescue untuk membawa masuk mangsa ke dalam bangunan iaitu melalui tingkap salah sebuah unit rumah di tingkat 20 bangunan berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati dia tidak sedarkan diri dan sudah meninggal dunia sejurus selepas kejadian," ujarnya.
Katanya, mangsa berjaya dibawa turun oleh anggota bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi.
#PerakKini #JBPM #maut #jatuh #kondominium #Selangor