Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai merogol seorang wanita yang ditemui dalam keadaan trauma, menangis dan luka di kaki di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung wanita warga tempatan berusia 38 tahun itu daripada orang awam kira-kira jam 9.15 pagi Selasa.
Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Senam bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa.
"Siasatan awal mendapati, mangsa telah dirogol dirumahnya oleh seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali.
"Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan daripada tempat kejadian setelah dirogol dan mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi.
"Hasil daripada tindakan pantas polis, seorang elaki tempatan berjaya diberkas di rumah mangsa dengan rampasan beberapa jenis senjata seperti gunting, pisau dan kuku kambing daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Beliau berkata semakan polis mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah narkotik lampau dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari mulai semalam sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut.
"Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaan kecederaan mangsa adalah stabil.
"Pada masa sama, pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan kes dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek dalam masa terdekat," jelasnya.
#PerakKini #PDRM #rogol #ditangkap #RBZ