Oleh Rosdalilah Zahari
CHEMOR - Bukit Bangkong yang terletak di Tanah Hitam, Chemor di sini adalah salah satu lokasi terkenal bagi penggemar aktiviti 'hiking' atau mendaki bukit.
Lazimnya, kawasan yang turut dijadikan tempat untuk beriadah itu paling ramai dikunjungi ketika waktu hujung minggu, cuti umum atau cuti persekolahan.
Aktiviti mendaki bukit yang semakin popular dan menjadi trend terkini dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda menjadikan Bukit Bangkong destinasi pilihan untuk penggemar aktiviti tersebut.
Menyedari perkara itu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman memaklumkan akan mengemukakan cadangan kepada MBI untuk menaik taraf kawasan tersebut demi keselesaan pengunjung.
Menurutnya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah keadaan jalan serta pembinaan kawasan parkir yang lebih sempurna berbanding sebelum ini.
"Kawasan ini amat terkenal dalam kalangan pendaki bukit. Malah, saya juga difahamkan ada juga pengunjung dari luar Ipoh yang singgah untuk mendaki bukit setinggi 312 meter dari paras laut ini.
"Justeru, saya akan bercadang untuk mengusulkan kepada MBI supaya menurap jalan dan membina parkir yang lebih sempurna untuk kegunaan pengunjung," katanya ketika melawat Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata jika kawasan tersebut dinaik taraf tidak mustahil ia dapat menarik lebih ramai penggemar aktiviti mendaki bukit untuk datang ke kawasan tersebut.
"Segala cadangan naik taraf perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kawasan itu tetap mengekalkan keindahan semulajadi flora dan faunanya," ujarnya.
#PerakKini #BukitBangkong #Chemor #Ipoh #Perak