Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - "UMNO ni kita tidak boleh berjumpa, bila berjumpa orang spekulasi macam-macam," kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang mengatakan terdapat usul khusus dibincangkan di dalam mesyuarat tergempar parti itu yang diadakan semalam.
Menurutnya, pertemuan kepemimpinan tertinggi bersama ketua bahagian di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, semalam tidak mempunyai agenda lain dan hanya satu perjumpaan biasa.
"Tiada apa-apa, cuma jumpa biasa. Tak boleh pula kita duduk bersama orang cemuh hati dengan kita, Kenapa? Parti lain juga berkumpul hari-hari, tiada pun tanya.
"Tapi bila Umno je berkumpul ada yang kata itu dan ini," ujarnya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Jentera BN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Perak, di sini, malam tadi.
Laporan sebuah portal media mendakwa mesyuarat tergempar yang diadakan semalam gagal mencapai kata sepakat bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah dihadapi Datuk Seri Najib Razak.
Selain itu, laporan berkenan turut memetik sumber dalaman sebagai mendakwa bahawa ramai ketua bahagian yang menghadiri mesyuarat terbabit, tidak bersetuju dengan arahan dikeluarkan pemimpin utama UMNO.
Sementara itu, mengulas kehadiran pemimpin UMNO di Kompleks Seri Perdana petang semalam, Mohamad berkata pertemuan itu adalah untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri berhubung hasil perjumpaan yang diadakan di ibu pejabat UMNO pada hari sama.
#PerakKini #UMNO #BN #spekulasi #Ipoh #Perak