LaraMag

collapse
Home / UMUM / TNB santuni masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Mu sempena program 'Sehari Bersama Pelanggan'

TNB santuni masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Mu sempena program 'Sehari Bersama Pelanggan'

Jan 14, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari SUNGAI SIPUT - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyantuni masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Mu, di sini, baru-baru ini melalui program Sehari Bersama Pelanggan yang antara pengisiannyameningkatkan pengetahuan mereka mengenai aspek kecekapan tenaga. Program tersebut adalah suatu inisiatif mewujudkan saluran komunikasi terbuka bersama pelanggan dalam kalangan masyarakat Orang Asli bagi menambah baik pengalaman mereka dengan solusi tenaga yang relevan berdasarkan keperluan semasa. Ketua Retail Negeri Perak TNB, Ir. Mohd Azhar Abd Rashid berkata, TNB prihatin dalam memastikan masyarakat di kawasan tersebut peka dan sentiasa mempraktikkan langkah-langkah keselamatan penggunaan elektrik yang sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini. “Kami juga berharap program seumpama ini dapat meningkatkan lagi tahap perkhidmatan TNB kepada pelanggan di setiap lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar, seterusnya mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua belah pihak,” katanya pada majlis itu. Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Nur Shamin Idayu Shuhami; Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Hazwan Sabri dan wakil Ketua Polis Sungai Siput, Sarjan Ismail Yahya. Azhar kemudian menyempurnakan acara penanaman pokok di perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Kuala Mu, sebagai simbolik menggalakkan masyarakat setempat berterusan memberi perlindungan alam sekitar. Majlis itu juga bertujuan berkongsi maklumat pengoperasian dan kemudahan yang ditawarkan oleh TNB, di samping menerapkan kesedaran tentang tip-tip keselamatan ketika menggunakan peralatan elektrik. Ini selaras dengan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), terutamanya dalam membentuk sikap ambil peduli dan mempraktikkan amalan menjaga alam sekitar. Seramai 120 ahli komuniti di Kampung Kuala Mu bersama keluarga masing-masing hadir dan memeriahkan majlis tersebut dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan sepakan penalti, boling kelapa, pertandingan mewarna dan kuiz berkaitan TNB. #PerakKini #TNB #OrangAsli #KualaMu #Sungai Siput

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.