KAMPAR - Kementerian Kesihatan (KKM) buat kali pertama melaksanakan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada golongan itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kementerian akan menggunakan hasil kajian itu nanti untuk menyediakan lebih banyak program kesihatan, perubatan, kemudahan dan sumber dari KKM kepada masyarakat Orang Asli.
Tinjauan itu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan lebih spesifik membabitkan lapan negeri akan dilaksanakan untuk tempoh tiga bulan bermula 13 Julai hingga 13 September ini.
Menurutnya, tinjauan akan dilaksanakan di 71 perkampungan Orang Asli membabitkan 4,700 buah rumah di Semenanjung.
"Institut Kesihatan Umum (IKU) sebelum ini sudah menjalankan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilaksanakan secara berkala membabitkan penduduk di seluruh negara.
"Namun, kita mendapati maklumat yang kita dapati melalui NHMS berkenaan kesihatan Orang Asli tidak mencukupi dan tidak begitu teliti.
"Jadi sebab itu kita meminta IKU membuat satu Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) yang spesifik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan melancarkan program Tinjauan Kesihatan Orang Asli di Dewan Komuniti Sahom di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia , Datuk Harjeet Singh.
"Kita akan menggunakan tinjauan ini untuk merangkakan intervensi yang khusus kesihatan awam dari segi perubatan agar perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada Orang Asli itu lebih 'evidence based'.
"Kalau sekarang ini kita hanya berdasarkan kepada laporan lapangan sahaja, tetapi dengan tinjauan ini kita dapat keadaan sebenar kesihatan masyarakat Orang Asli," katanya.
Beliau berkata, tinjauan ini penting kerana pihaknya melihat masyarakat Orang Asli dalam beberapa indikator yang menunjukkan tahap kesihatan yang mesti ditingkatkan.
"Dari segi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, penyakit berjangkit masih ada dari semasa ke semasa di beberapa perkampungan orang asli, masalah penyakit yang tidak berjangkit juga tinggi. - Berita Harian Online