Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Tiga lelaki ditahan selepas polis menemui 10.4 kilogram (kg) dadah disyaki jenis methamphetamine di dalam sebuah kereta di kawasan parkir pasar raya besar di Bercham, pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga suspek terbabit masing-masing berusia 40, 58 dan 61 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menjalankan satu operasi khas di bandar raya ini.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki oleh suspek berusia 58 tahun menemukan sebuah guni plastik berisi 10 bungkusan peket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan nilai pasaran kira-kira RM400,000 dan boleh digunakan 20,000 penagih dadah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada pagi Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek 58 tahun itu turut positif dadah jenis methamphetamine.
"Di samping itu, tindakan pelucuthakan harta sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM12,000 serta wang tunai sebanyak RM2,200 turut disita.
"Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah Utara negara," jelasnya.
Berikutan itu, beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B serta 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
#PerakKini #PDRM #narkotik #dadah #kantoi #RBZ