LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Tiada insiden pesalah trafik dipukul polis seperti didakwa di media sosial

Tiada insiden pesalah trafik dipukul polis seperti didakwa di media sosial

Aug 06, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Tiada insiden pesalah trafik dipukul anggota polis seperti disensasikan sesetengah pihak sewaktu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengadakan operasi membanteras samseng jalanan di Jalan Jelapang, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya terkesan dengan satu penularan video yang memaparkan operasi tersebut di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat. Menurutnya, video tular tersebut menunjukkan ketidakpuasan bapa kepada seorang pesalah trafik yang hadir ke lokasi selepas polis mengeluarkan lima saman terhadap anaknya atas beberapa kesalahan. Katanya, kesalahan trafik yang dilakukan adalah memandu, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, dan aksesori tidak sempurna pada motosikal. "Bapa kepada pesalah trafik itu datang ke lokasi operasi selepas anaknya menghubunginya. "Apabila tiba di lokasi bapa kepada lelaki berusia 23 tahun menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan pihak polis. "Bagaimanapun, insiden itu reda apabila bapa kepada pesalah trafik itu meminta maaf kepada polis dan diberi nasihat serta amaran tanpa ditangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Yahaya berkata, dalam operasi yang diadakan bermula jam 3 hingga 6 pagi itu sebanyak 27 buah motosikal dan 32 orang individu telah diperiksa. "Hasil pemeriksaan, sebuah motosikal disita, manakala seorang lelaki warganegara Thailand berumur 19 tahun turut ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ,"jelasnya. Beliau berkata, sebanyak 30 saman trafik pelbagai kesalahan turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya pada operasi itu. #PerakKini #PDRM #matrempit #samsengjalanan #RBZ  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.