Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Terima kasih saya ucapkan kerana masih lagi prihatin dan ada rasa cinta kepada UMNO, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan
Pemuda UMNO Perak yang dikatakan enggan melayan sebarang kritikan yang dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas dipecat dari parti.
Menurutnya, terlalu ramai orang sering bercakap mengenai UMNO namun akhirnya UMNO sendiri yang akan membuat keputusan.
"Dia mudah sajalah, yang jadi susah sekarang ini ialah orang di luar UMNO banyak bercakap hal UMNO. Biarlah orang UMNO bercakap hal UMNO. Itu yang dimaksudkan Pemuda (UMNO) Perak.
"Jadi terima kasihlah sebab ramai orang berminat untuk bercakap perkara yang berkaitan dengan UMNO tetapi apa pun keadaannya UMNO akan buat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi saksi pada Majlis Menandatangani Memorandum of Agreement (MOA) di antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kotak Global Sdn Bhd (KGSB) bagi Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 di Hotel Casuarina @ Meru di sini petang Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata UMNO bukan sombong tetapi jangan sampai tahap berlaku satu proses mengadu domba, provokasi.
"Kita (UMNO) sudah berada di landasan yang betul, perkara-perkara yang patut kita tinggalkan dah kita tinggalkan. Apa yang dia patut kita buat pemutihan dah kita putihkan.
"Biar kepimpinan UMNO yang baru memperbaiki segala kerosakan yang mungkin telah berlaku dan kita nak terus bergerak ke hadapan," jelasnya.
#PerakKini #UMNO #PemudaUMNO #KhairyJamaluddin #KJ #RBZ