LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Teliti semula pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA - Anwar

Teliti semula pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA - Anwar

Apr 10, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Pengumuman pelantikan bekas ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) baru-baru ini akan diteliti semula kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO. “Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid mengenai salah satu pengumuman (tetapi) belum dihantar surat (pelantikan rasmi), termasuk cadangan (melantik Abdul Azeez sebagai) Pengerusi Keda akan kita teliti semula, jadi belum ada pelantikan (Pengerusi KEDA),” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya pada Isnin. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. Rabu lalu, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini. Perkara itu diumumkan sewaktu beliau hadir pada Majlis Santuni Kasih Ramadan Kedah di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, Kedah. Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyatakan bahawa pelantikan beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan dibuat terhadap syarikat tersenarai di bursa saham dan pelantikan tersebut berdasarkan kelayakan. “Kalau dia ada kelayakan kita akan lantik dan telah pun dilantik berdasarkan kelayakan, seperti ada akauntan, peguam tapi syarat-syaratnya kita ketatkan. “Jadi jangan andaikan GLC itu seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini. Kita syaratkan dia jalankan tanggungjawab, dia tak boleh belanja lebih daripada yang ditentukan dan elaun-elaun pun kita hadkan, mengikut kelayakan masing-masing,” katanya. Sebelum ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) membidas dua perlantikan jawatan GLC seperti yang diumumkan Ahmad Zahid membabitkan mantan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 1 Mac serta Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu. #PerakKini #GLC #lantikan #politik #KEDA #PM #RBZ        

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.