Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Perbelanjaan pembinaan taman tema baharu di Tanjung Tualang, Batu Gajah dekat sini tidak dibiayai dana kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi dilaksanakan menerusi Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) yang membabitkan beberapa syarikat swasta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagaimanapun projek pembangunan taman tema itu diuruskan oleh agensi di bawah kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
Menurutnya, tujuan utama taman tema itu diwujudkan adalah untuk menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan penyelenggaraan memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) yang memerlukan kos yang agak tinggi.
"Kaedah yang digunakan bagi projek ini adalah secara PFI, tetapi sudah tentulah diuruskan agensi kerajaan negeri iaitu MB Inc.
"Jadi, tiada siapa perlu bimbang kerana ia bukan menggunakan mana-mana sumber duit kerajaan negeri ataupun duit rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, taman tema itu adalah salah satu daripada elemen kecil yang hanya membabitkan kos RM11 juta.
Menurutnya, selain taman tema itu terdapat beberapa produk pelancongan yang akan dibangunkan di kawasan seluas 58 hektar dengan nilai pembiayaan mencecah RM35 juta.
Jelasnya, MB Inc berfungsi sebagai tuan tanah yang menjana pendapatan dalam bentuk sewaan dan perkongsian keuntungan.
"Setakat ini, terdapat beberapa produk seperti Maze Garden sudah wujud di situ dan beberapa produk baharu dalam perancangan antaranya Ipoh Escape (seperti Penang Escape)," ujarnya yang memaklumkan ia dilancarkan pada Jun ini.
Semalam media melaporkan, anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn Bhd bagi membina, menguji dan memasang, menyiap dan menyerahkan kerja taman tema di Tanjong Tualang, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong, berkata kontrak RM11 juta itu mempunyai tempoh 18 bulan dari 15 Februari 2023 hingga 14 Ogos 2024.
#PerakKini #tamantema #tanjungtualang #batugajah #RBZ