IPOH - Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak akan merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri (LA) berhubung status Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas diputuskan bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya sudah merujuk kepada LA negeri untuk mendapatkan pandangan rasmi.
"Kalau mengikut laporan media, peguam Paul Yong telah mendapat stay of the execution (penangguhan Mahkamah) dan dibenarkan ke merayu ke Mahkamah Rayuan.
"Jadi, proses Mahkamah masih belum selesai, saya juga sudah rujuk kepada LA negeri untuk mendapatkan pandangan rasmi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hari ini media melaporkan, Paul Yong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu. - Harian Metro Online