𝟐𝟒 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟎
𝐒𝐈𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐑𝐓𝐀-𝐌𝐄𝐑𝐓𝐀
𝐒𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐝𝐢𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐚𝐢𝐭𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐮 ‘𝐌𝐚𝐤𝐜𝐢𝐤 𝐆𝐞𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐏𝐢𝐧𝐤 𝐕𝐢𝐫𝐚𝐥’ 𝐝𝐢 𝐁𝐚𝐧𝐝𝐚𝐫 𝐌𝐞𝐫𝐮 𝐑𝐚𝐲𝐚 & 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐚𝐧 𝐒𝐎𝐏 𝐏𝐫𝐞𝐦𝐢𝐬 𝐃𝐢𝐣𝐚𝐦𝐢𝐧
Pertama sekali, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi semula.
Keputusan itu bagaikan memberi nafas baharu buat kami selepas beberapa bulan bergelut krisis kewangan memandangkan tidak boleh berniaga kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada masa sama, terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu yang sentiasa prihatin dengan situasi para peniaga dan rakyat negeri Perak.
Kami Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak mewakili lebih daripada 100 peniaga premis di sini.
Sidang Media hari ini adalah untuk menjawab segala permasalahan, isu tular, fitnah dan komen-komen negatif sehingga sebahagian besar daripada kami terjejas pendapatan jualan harian.
𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐢𝐚𝐥𝐚𝐡 :
1. Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak memandang serius isu tular baru- baru ini melibatkan seorang wanita warga emas yang singgah menjamu selera di sebuah kafe di Bandar Meru Raya.
2. Isu ini menjadi perhatian dan perdebatan warga maya susulan tindakan wanita terbabit keluar rumah dalam tempoh kuarantin. Dalam erti kata lain, beliau ketika itu masih di bawah tempoh pengawasan (PUS) Covid-19.
3. Ia berikutan foto yang tular beberapa hari lalu memperlihatkan wanita berkenaan masih lagi memakai gelang berwarna pink. Kini dimaklumkan, beliau bersama anak lelakinya positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
4. Pihak Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak sukar untuk menidakkan susulan insiden berkenaan sehingga mengakibatkan lebih 100 peniaga di sini terkesan dari segi jualan apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan.
5. Oleh itu, pada hari ini kami enggan menunding jari dan menyalahkan mana- mana pihak. Sebaliknya, ingin memberi penjelasan terhadap beberapa dakwaan yang mengatakan para peniaga di sini tidak melaksanakan SOP sehingga berlakunya insiden sedemikian.
6. Untuk makluman, sebaik sahaja pihak kerajaan memberi kebenaran premis dibuka, kami para peniaga bersyukur dan amat menitikberatkan pelaksanaan SOP yang ditetapkan pihak MKN.
7. Para peniaga di sini tidak memandang ringan operasi Norma Baharu yang memerlukan kami mencatat butiran asas pelanggan dan pemeriksaan suhu badan staf serta pelanggan.
8. Cuma kami tidaklah sampai satu tahap melakukan pemeriksaan pakaian atau meminta pelanggan menunjukkan aksesori yang dipakai pada tubuh badan kerana perkara ini tiada dalam SOP.
9. Untuk makluman majoriti peniaga juga tidak mengetahui perihal 'gelang kuarantin' kerana sebelum ini tiada makluman secara langsung dari segi bentuk, warna dan tujuannya.
10. Berkaitan isu viral, pada hari berkenaan pihak pengurusan kafe telah menjalankan SOP ditetapkan, cuma tidak perasan gelang pink yang terselindung di bawah pergelangan baju pelanggan terbabit.
11. Lebih mengecewakan, susulan isu tular itu kedai makan lain pula menjadi mangsa, walhal ia berlaku di kafe lain. Maksudnya, tuduhan terhadap Restoran Pokok Belacan dan Mydin Mall adalah tidak berasas kerana tiada kena-mengena.
12. Sehubungan itu, kami para peniaga meminta jasa baik dan kerjasama daripada pelanggan supaya kekal berada di rumah sekiranya anda di bawah tempoh kuarantin.
13. Dalam situasi virus yang belum ada penawarnya adalah lebih baik kita mempraktikkan hashtag #KitajagaKita.
14. Bukan itu sahaja, kami juga memohon kerjasama sekiranya anda ternampak pelanggan yang memakai gelang kuarantin, maka segeralah memaklumkan kepada staf premis supaya pemilik terus melaporkan kepada pihak berkuasa dan KKM.
15. Justeru, kami juga ingin tegaskan bahawa para pelanggan tidak perlu bimbang untuk terus membeli-belah, menikmati hidangan ataupun beriadah di sekitar Bandar Meru Raya kerana pengusaha premis sentiasa menitikberatkan pematuhan SOP.
16. Selain pembersihan, proses sanitasi juga dilakukan dari semasa ke semasa seperti mengambil maklumat asas pelanggan termasuk menyediakan hand sanitizer di premis untuk kegunaan pelanggan.
17. Kami Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Balai Bomba Meru Raya yang diketuai oleh Tuan Sharudi Muhamad Halil yang peka dan mengambil tindakan segera melaksanakan proses sanitasi pada setiap masa.
18. Terima kasih turut dizahirkan kepada pihak Balai Polis Jelapang diketuai Tuan ASP Fadlishah Bin Abdul Rashid yang sentiasa membantu peniaga dalam memastikan SOP terus dilaksanakan dan melakukan pemantuan berkala di semua premis.
19. Ia termasukla Pegawai-Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang turun padang dan menasihati peniaga agar tidak ingkar pada pematuhan SOP.
Sehubungan itu, diharapkan dengan kenyataan hari ini ia dapat memulihkan keadaan bukan sahaja di Bandar Meru Raya malah di seluruh negara.
Perlu mengerti, kami bukan ingin menegakkan benang yang basah, tetapi mengambil inisiatif menjernihkan keadaan supaya sikap alpa, pentingkan diri sendiri tidak berulang pada masa akan datang.
Kepada semua rakyat Malaysia diharapkan tidak membuat penilaian sendiri sehingga boleh menjatuhkan termasuk menakut-nakutkan orang ramai.
Seharusnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa dan KKM menjalankan kerja- kerja mereka.
Disediakan oleh,
𝐍𝐚𝐬𝐬𝐫𝐲 𝐌𝐚𝐫𝐝𝐞𝐞 𝐁𝐢𝐧 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥,
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢,
𝐊𝐞𝐥𝐚𝐛 𝐔𝐬𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐁𝐚𝐧𝐝𝐚𝐫 𝐌𝐞𝐫𝐮 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤
𝐍𝐢𝐳𝐚𝐦 𝐇𝐣. 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮𝐝𝐢𝐧
𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢,
𝐊𝐞𝐥𝐚𝐛 𝐔𝐬𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐁𝐚𝐧𝐝𝐚𝐫 𝐌𝐞𝐫𝐮 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤