LaraMag

collapse
Home / UMUM / Sidang DUN Perak: MB bentang RUU Sumber Air Perak

Sidang DUN Perak: MB bentang RUU Sumber Air Perak

Jul 18, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini. Menurutnya, RUUSA Perak 2022 ini digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di Perak serta menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Katanya, buat masa ini pengurusan sumber air di Perak masih dikawal selia berdasarkan peruntukan Akta Air 1920 (Akta 418) yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai daerah di negeri ini. "Setakat ini, tiada badan khusus yang boleh menjadi rujukan utama untuk kawal selia sumber air tersebut. selain peruntukan Akta Air 1920 (Akta 418) dan dua kaedah yang telah dibuat di bawahnya iaitu Kaedah-kaedah Caj Air (Perak) 2010 dan Kaedah-kaedah Abstraksi Air Tanah (Perak) 2011. "Ketiadaan badan khusus ini menyebabkan kawal selia ke atas penggunaan sumber air negeri tidak dapat dioptimumkan khususnya dari aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang melibatkan sumber air," katanya. Berikutan itu, Saarani berkata timbul keperluan dasar untuk menggubal satu undang-undang negeri baru yang teratur dan menyeluruh bagi menggantikan Akta Air 1920 (Akta 418) dan undang-undang yang berkaitan. "RUUSA Perak 2022 yang telah digubal mengandungi 94 fasal peruntukan yang dibahagikan kepada sembilan bahagian iaitu permulaan, pentadbiran, kewangan, pengurusan dan perlindungan sumber air, penggunaan sumber air dan perlesenan, penguatkuasaan, kesalahan dan penalti serta pemansuhan dan kecualian. "Dalam masa sama, ia menjaga kepentingan negeri dalam aspek pengurusan, pembangunan dan penggunaan sumber air di negeri ini dengan lebih sistematik," jelasnya. #PerakKini #SidangDun #kerajaannegeri #Perak    

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.