Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Kerajaan negeri amat serius dalam usaha menangani isu banjir terutamanya kawasan yang berisiko tinggi berhadapan dengan bencana itu.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, berikutan itu kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa Projek Tebatan Banjir sebagai salah satu langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir.
Menurutnya, antaranya lokasi yang terbabit adalah Projek Tebatan Banjir Sungai Larut Fasa 1 yang dilaksanakan di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS).
Tambahnya, JPS juga telah merancang beberapa Projek Rancangan Tebatan Banjir yang menelan kos yang tinggi dengan menggunakan Peruntukan Kerajaan Persekutuan.
"JPS bertanggungjawab dalam menyelenggara sungai-sungai bagi mengurangkan masalah banjir yang mana salah satu kaedahnya ialah mengorek pulih sungai dan hasil korekan tersebut akan dijadikan sebagai ban banjir.
"Hasil korekan tersebut tidak dibawa keluar memandangkan kos pengeluaran pasir melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan kelulusan daripada pejabat daerah dan tanah.
"Namun JPS telah bekerjasama dalam perkongsian pintar dengan pihak Menteri Besar Incoperated (MB Inc.) untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan sungai-sungai utama yang diluluskan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) secara 'blanket'.
"Melalui usaha sama pintar ini hasil korekan sungai akan dijual sekaligus dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan negeri dan dapat mengurangkan masalah banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khalil Yahaya (Pas-Kubu Gajah) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di sini, pada Selasa.
Sementara itu, berhubung pembinaan benteng hakisan banjir di Kampung Raja Bashah, JPS mendapati isu hakisan di kawasan tersebut serius dan memerlukan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja pemuliharaan tebing Sungai Kurau.
"Setakat ini, JPS telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah Rolling Plan Pertama (2020), Kedua (2021) dan Ketiga (2022).
"Permohonan tersebut berjumlah RM 23 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan tebing dan kawalan hakisan yang melibatkan kawasan Pekan Bagan Serai dan juga Kampung Raja Bashah.
"Bagaimanapun, status permohonan ini masih dalam pertimbangan diperingkat Kerajaan Persekutuan namun akan diberi perhatian dari semasa ke semasa," jelasnya.
#PerakKini #JPS #banjir #Perak