Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Siasatan berhubung lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa pukul anggota senior dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu, kini di peringkat akhir.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata pihaknya sedang menunggu polis untuk sebelum tindakan lanjut diambil ke atas anggota senior yang terlibat.
Menurutnya, mereka yang terbabit juga telah masuk semula ke unit masing-masing.
"Baru-baru ini saya mendapat taklimat yang mereka (suspek dan mangsa) akan dipanggil untuk soal siasat di peringkat akhir oleh polis. Jadi, kita tunggu siasatan daripada polis dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Asghar Khan menegaskan TUDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes buli.
"ATM ada peraturan dan undang-undang. Sesiapa yang melakukan pembulian akan diambil tindakan tegas termasuk pemberhentian.
"Tapi semua bergantung kepada hasil siasatan yang dilaksanakan. Kita perlu melaksanakan siasatan terperinci sebelum apa-apa tindakan diambil," jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tentera udara dan wanita itu turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adiknya ketika menjalani latihan di pusat itu.
Kemudian pada 12 April lalu, empat lagi pelatih yang menjalani kursus latihan sama dengan pengadu, mendedahkan kejadian dipukul anggota TUDM senior itu, ketika mereka dipanggil membantu siasatan kes buli yang dilaporkan oleh keluarga seorang pelatih lebih awal.
#PerakKini #TUDM #buli #pelatih #RBZ