LaraMag

collapse
Home / POLITIK / Setuju syarat bon RM10 juta diteruskan - Muhamad Arafat

Setuju syarat bon RM10 juta diteruskan - Muhamad Arafat

Jun 24, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju jika kaedah menandatangani syarat bon oleh calon-calon yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya Pilihan Raya Negeri (PRN) diteruskan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata syarat bon ini adalah sebagai cagaran untuk wakil rakyat supaya tidak berpaling tadah kepada rakyat yang memilih mereka sewaktu pilihan raya. Menurutnya, keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin pada Jumaat lalu membuktikan perkara tersebut boleh dilaksanakan. "Sudah tentu syarat bon ini perlu diteruskan dan saya rasa semua parti dah ada yang buat tapi isunya sebelum ini tiada peruntukan undang-undang melalui perlembagaan untuk menghalang wakil rakyat daripada melompat parti. "Ketika itu rakyat tidak yakin bila bon seperti itu dilihat susah untuk menang di dalam mahkamah tetapi melalui kes tersebut ia adalah satu permulaan baik dan pada masa akan datang semua parti wajib menggunakan kaedah sama," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu. Dalam perkara berkaitan, Muhamad Arafat berkata kes tersebut akan menjadi rujukan jika berlaku perkara sama pada masa akan datang. Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR. Hakim, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas membenarkan saman oleh PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020. Menerusi pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020, Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut. PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas. Pada 2018, sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semua calon PKR termasuk Zuraida diminta menandatangani bon yang menyatakan, mereka perlu membayar RM10 juta jika meninggalkan parti selepas beroleh kemenangan. #PerakKini #PKR #syaratbon #RM10juta #pilihanraya #RBZ

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.