Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Misteri kehilangan seorang penunggang motosikal sejak Sabtu lalu akhirnya terungkai selepas dia ditemukan maut di dalam kawasan semak di Kilometer (KM) 22 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mangsa, lelaki berusia 46 tahun seorang penyelia kilang ditemukan orang awam kira-kira jam 5.30 petang, pada Isnin.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berhubung kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX636 yang terbabas di bahu jalan dan masuk ke dalam semak kira-kira jam 5.30 petang.
"Siasatan awal mendapati pada lebih kurang jam 11.15 pagi, 7 Januari lalu, motosikal yang ditunggang seorang lelaki (mangsa) telah melalui JRTB menuju ke Banjaran Titiwangsa, Gerik.
"Bagaimanapun, ketika tiba di km 22 JRTB Gerik-Jeli, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal dan terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira jam 1.58 tengah hari semalam.
"Berdasarkan maklumat tersebut, rakan-rakan mangsa menjejaki mangsa di tempat kejadian dan membuat laporan ke IPD Gerik," ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh berhubung dengan Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin di talian 013-448 7374.
#PerakKini #kemalangan #maut #Gerik