LaraMag

collapse
Home / UMUM / 'Saya seronok bekerja, memudahkan urusan orang ramai' - Yogeswary, pengawal keselamatan HRPB tular

'Saya seronok bekerja, memudahkan urusan orang ramai' - Yogeswary, pengawal keselamatan HRPB tular

Mar 16, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Masih ingatkah lagi kisah pengawal keselamatan wanita yang tular di media sosial atas sikap ringan tulangnya yang membantu memudahkan urusan pesakit atau ahli keluarga di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) baru-baru ini? Pengawal keselamatan dimaksudkan adalah R Yogeswary, 44, yang sudah berkhidmat empat tahun di hospital berkenaan. Sikap wanita berasal dari Gerik yang cukup mesra dan tidak lokek dengan senyuman itu membuatkan pesakit atau ahli keluarga gembira menerima pertolongan daripada wanita tersebut. Malah, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa turut menzahirkan penghargaan beliau kepada Yogeswary serta semua kakitangan sokongan di setiap fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Yogeswary yang ditemui hari ini berkata dia sering menghulurkan bantuan terutamanya kepada wanita selepas bersalin dan warga emas. "Saya membantu wanita selepas bersalin dan warga emas untuk mendapatkan parkir serta segala bantuan yang diberikan hanya bagi memudahkan kerja mereka sahaja. "Tambahan, sebagai seorang wanita saya memahami perasaan dan keadaan wanita lain yang baru lepas bersalin. "Jadi saya seronok bekerja dan memudahkan urusan mereka," katanya ketika ditemui di HRPB pada Khamis. Sementara itu, Ibu tunggal dua anak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan yang memberi pengiktirafan terhadap tugasnya di hospital berkenaan. "Ini kali pertama saya mendapat penghargaan sejak bertugas di sini. "Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua yang umpama keluarga besar buat saya antaranya syarikat, unit keselamatan, hospital, Menteri Kesihatan dan warga Perak yang sentiasa memberi komen baik-baik kepada saya," katanya. Sebelum ini, tular di Facebook menceritakan kisahnya yang sering memberi bantuan kepada orang ramai yang berurusan di HRPB. Hantaran di orang awam di Facebook itu turut memaklumkan bantuan yang dihulurkan antaranya termasuklah mengangkat barang, mengawal lalu lintas, memarkirkan kenderaan, menenangkan pesakit cemas dan mengucapkan tahniah kepada ibu baru bersalin. #PerakKini #pengawalkeselamatan #tular #RBZ

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.