Oleh Rosdalilah Zahari
SUNGAI SIPUT - Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan menguasai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BN Perak yakin rakyat kini sudah bijak memilih dan akan memberi kepercayaan kepada parti itu.
Katanya, sasaran itu diletakkan selepas melihat kekuatan dan keputusan yang diperolehi BN pada PRU14.
"Pada 2018, BN adalah parti tunggal yang memenangi memenangi 27 kerusi DUN. Masa itu belum ada Pakatan Harapan (PH).
"Ia hanya merupakan gabungan parti-parti pembangkang pada waktu itu yang didominasi oleh DAP 18 kerusi, ditambah Amanah ada enam kerusi ditambah PKR (Parti Keadilan Rakyat) tiga kerusi ditambah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) satu kerusi yang keseluruhannya ada 29 kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Tahun 2022 Kerajaan Negeri Perak di Dewan Konvensyen Tun Samy Vellu pada Selasa.
Katanya, terdapat beberapa kerusi DUN yang disasarkan pada PRU akan datang ini antaranya di Kamunting, Titi Serong, Behrang, Sungai Rapat, Pasir Panjang, Manjoi, Selama, Kubu Gajah, Hulu Kinta dan beberapa lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata BN Perak menyasarkan 15 kerusi pada PRU15 iaitu tambahan tiga kerusi daripada 12 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
Tambahnya, kerusi tersebut adalah Lumut, Tambun dan Tanjung Malim.
#PerakKini #BarisanNasional #Perak #PRU15