LaraMag

collapse
Home / POLITIK / PRU15: BN Perak sasar 16 Parlimen, 36 DUN

PRU15: BN Perak sasar 16 Parlimen, 36 DUN

Aug 23, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak mensasarkan 16 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini supaya parti itu dapat membentuk kerajaan di peringkat pusat. Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata di Perak ibu pejabat memberikan satu tugas berat kepada Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan supaya 11 kerusi Parlimen sedia ada dapat dikekalkan. "Kita hendak sekurang-kurangnya lima lagi (kerusi Parlimen) kerana 16 (kerusi Parlimen) mesti ada daripada Perak. "Ini saya sudah buat perkiraan untuk melengkapkan bahawa BN boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU15 nanti," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Jentera BN PRU15 Perak, di sini, malam tadi. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. Sementara itu, bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohamad berkata pihaknya memfokuskan lima kerusi yang calon BN tewas majoriti kurang daripada 1,000 pada PRU14 untuk dirampas selain empat kerusi lain yang berpotensi untuk menang pada PRU kali ini. Katanya, PRU sebelum ini BN memenangi 27 kerusi DUN dan berharap ia dapat dikekalkan selain menambah sembilan lagi kerusi untuk memastikan BN dapat membentuk kerajaan negeri Perak. "Itu sebab tadi saya nasihatkan supaya kita ketepikan dahulu kepentingan peribadi perselisihan faham antara kita kerana keutamaan kita adalah untuk menghadapi pilihan raya dan menang serta menubuhkan kerajaan," ujarnya. Pada PRU14, calon BN tewas di lima kerusi DUN dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi iaitu Chenderiang, Selama, Kubu Gajah, Titi Serong dan Behrang. #PerakKini #BN #UMNO #MCA #MIC #PRU15

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.