LaraMag

collapse
Home / POLITIK / PRU 15: Bakal calon UMNO Parlimen Tambun, DUN orang tempatan

PRU 15: Bakal calon UMNO Parlimen Tambun, DUN orang tempatan

Jun 01, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Tiada isu calon luar atau calon 'payung terjun' dalam kalangan UMNO yang bakal bertanding di Parlimen Tambun serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta dan Manjoi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata setakat ini UMNO sudah mengenal pasti bakal calon yang layak untuk bertanding di kawasan berkenaan. Menurutnya, bakal calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan itu adalah dalam kalangan anak tempatan. "Jadi sampai ketikanya akan terkeluarlah nama calon yang akan dipilih Barisan Nasional (BN). Saya percaya BN mempunyai tatacara pemilihan calon yang agak ketat. “Dalam Perlembagaan UMNO turut mengatakan bahawa cadangan mana-nama calon di kerusi-kerusi UMNO perlu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Tambun di Dewan Komuniti, di sini. Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abdul Rahman. Aminuddin berkata dalam keadaan sekarang semua pihak perlu menerima hakikat bahawa dalam proses demokrasi sesiapa pun dibenarkan untuk bertanding . “Kita juga memahami bahawa sebagai penyandang kerusi Parlimen Tambun, sudah pastinya Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Perikatan Nasional (PN)) akan berusaha mengekalkan kerusi disandang dan tidak juga menjadi halangan untuk Datuk Abdul Aziz Bari (dari Pakatan Harapan (PH) menawarkan diri untuk menjadi calon. “Sudah pasti UMNO akan meletakkan calon. Apa yang kita lihat di Melaka dan Johor, kita melihat bahawa trend sekarang PN akan bertanding, BN akan bertanding dan PH juga akan bertanding. “Kita juga mengakui ada pihak lain juga yang berminat seperti Pejuang dan mungkin juga Putra dan kita merasakan ini dari segi politiknya satu pertandingan secara sihat,” jelasnya. Justeru, beliau berkata segalanya terserah kepada rakyat, khususnya pengundi untuk membuat pilihan memandangkan pola pengundian pengundi sudah nampak agak berbeza berbanding PRU 14 yang lalu. Parlimen Tambun mempunyai antara pengundi paling ramai iaitu lebih 160,000 orang dengan DUN Manjoi mempunyai kira-kira 85,000 pengundi dan DUN Hulu Kinta sekitar 75,000 pengundi. Pada PRU14 lalu, BN gagal mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen Tambun, DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi yang turut menyaksikan buat pertama kalinya parti itu hilang tampuk pemerintahan negara kepada PH. #PerakKini #PRU15 #ParlimenTambun #Ipoh #Perak

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.