Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak dilihat turut mengintai peluang untuk meletakkan calon mereka di kerusi 'panas' Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata setakat ini calon yang sesuai sudah dikenal pasti namun kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak masih belum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
"PH belum berbincang lagi. Jadi benda ini (pemilihan calon) biarlah kepimpinan putuskan siapa yang akan bertanding di mana bukan khusus untuk Tambun sahaja tapi di tempat lain juga," katanya kepada media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, di sini, pada Rabu.
Menyentuh, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Abdul Aziz Bari yang berhasrat untuk menawarkan diri bertanding di Parlimen Tambun baru-baru ini, Asmuni berkata jika beliau (Abdul Aziz) bercita-cita (jadi calon) tiada masalah.
"Walau apa pun, PH negeri akan buat keputusan parti mana yang akan bertanding di Parlimen Tambun. Jadi dia (Abdul Aziz) tak boleh 'cop, cop' begitu sahaja. DAP, PKR, Amanah mungkin juga minat (kerusi Parlimen Tambun).
"Mungkin juga saya (jadi calon Tambun). Sebab itu saya kata kita tak buat keputusan lagi, itu kemungkinan-kemungkinan sahaja, mungkin saya ambil Parlimen saja atau pelbagai kemungkinan boleh berlaku," jelasnya.
Timbalan Pengerusi PH Perak, itu juga menyatakan segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada parti bagi memilih calon yang sesuai bukan terletak pada tangan individu.
"Saya sendiri pun bukan mengatakan saya akan bertanding di Manjoi walaupun saya ada niat macam itu, kalau parti tak 'endorse' (menyokong), saya pun tidak boleh ke mana," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Abdul Aziz mencabar Ahli Parlimen Tambun sekarang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk bertanding di situ.
Abdul Aziz berkata, beliau berhasrat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi serta bertanding di peringkat Parlimen di Tambun.
#PerakKini #ParlimenTambun #kerusipanas #Tambun #Ipoh #Perak