Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Polis Perak berjaya membongkar makmal memproses dadah serta merampas dadah jenis Erimin 5 bernilai lebih RM30 juta selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Klebang Chemor, Selasa lalu.
Menerusi serbuan yang dijalankan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 9.30 pagi itu, semua dadah yang dirampas adalah jenis pil Erimin 5 seberat 413.92 kilogram (kg) dan serbuk Erimin 5 dengan berat 25.33 (kg) serta boleh menampung permintaan buat 2.2 juta orang penagih.
Turut dirampas mesin serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah serta dua laras senjata api tiruan.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md berkata hasil siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah yang membabitkan kedua-dua suspek berusia 44 tahun itu dipercayai mula aktif sejak Mac tahun ini.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket tersebut adalah memproses dan membungkus dadah pil Erimin 5 untuk diedarkan bagi tempatan dan juga luar negeri Perak.
"Kedua-dua suspek terbabit yang tidak bekerja itu dipercayai mempelajari teknik memproses dadah melalui media sosial dan rakan-rakan.
"Selain itu, banglo dua tingkat yang dijadikan premis memproses dadah dipercayai disewa sejak awal tahun ini," katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua JSJN Perak, Lee King Chuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Kamarudin berkata polis turut menyita kereta jenis Toyota Altis, motosikal jenis Honda EX5, dua cincin warna kekuningan dan wang tunai
bercampur campur berjumlah RM1,624 yang disyaki diperolehi dari hasil jualan dadah dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM30,615,96.90.
Katanya, saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.
"Semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua suspek mempunyal rekod lampau kes jenayah dan dadah," katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
"Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan," jelasnya.
#PerakKini #PDRM #dadah #Erimin5 #RBZ