LaraMag

collapse
Home / UMUM / Polis Perak pilih Taman Bukit Senyum Lenggong jadi Taman Angkat Amanita ke-9

Polis Perak pilih Taman Bukit Senyum Lenggong jadi Taman Angkat Amanita ke-9

Sep 02, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari LENGGONG - Polis Perak memilih Taman Bukit Senyum di sini menjadi Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) ke sembilan di negeri ini. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pemilihan taman tersebut adalah berdasarkan aktiviti kemasyarakatan yang aktif melibatkan penduduk setempat. Menurutnya, program taman angkat ini bermula di Perak pada tahun 2015 melibatkan Amanita yang berperanan mendidik dan memupuk kesedaran orang ramai khususnya golongan suri rumah, mengenai keselamatan diri serta cara melindungi kawasan kejiranan masing - masing. "Pemilihan taman ini adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya termasuklah penglibatan penduduk secara aktif dalam persatuan penduduk, persatuan kepolisan komuniti, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS). "Penglibatan masyarakat dalam persatuan-persatuan berbentuk kemasyarakatan ini menunjukkan bahawa masyarakat Lenggong khususnya penduduk Taman Bukit Senyum, memberikan komitmen yang tinggi terhadap semangat kekitaan dan juga mengambil cakna berkaitan tentang isu keselamatan dan kesejahteraan di kawasan mereka khususnya golongan wanita yang aktif dalam program kepolisan komuniti," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Taman Bukit Senyum sebagai Taman Angkat Amanita Polis Diraja Malaysia Perak di Mini Stadium Majlis Daerah Lenggong pada Sabtu. Upacara perasmian disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang  turut dihadiri isteri beliau Datin Seri Aezer Zubin. Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Dalam pada itu, Mohd Yusri berharap kerjasama antara polis dan masyarakat setempat dapat diteruskan dan dipereratkan dengan lebih baik dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjamin. #PerakKini #PDRM #Perak #Lenggong #TamanAngkat #Amanita #RBZ  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.