Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Polis Kontinjen Perak menghantar seramai 1,505 pegawai dan anggota pelbagai pangkat ke negeri Kelantan bagi memberi bantuan penugasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pegawai dan anggota terbabit terdiri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) serta Pasukan Polis Marin.
Menurutnya, seramai 84 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak juga turut digerakkan bagi membantu penugasan pada PRN di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
"Saya berharap pegawai dan anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perak yang bertugas di negeri PRN melaksanakannya dengan penuh berintergriti, berhemah, berdisiplin bagi memastikan pilihan raya ini berjalan lancar," katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Amanat dan Pelepasan Bantuan Sumber Manusia PDRM Perak ke PRN Kelantan 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Yusri turut menasihatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak terlibat dalam sebarang situasi yang boleh mengakibatkan ketegangan dan mewujudkan implikasi yang boleh mencalarkan imej PDRM. "Hendaklah mengawal emosi sehabis baik, sentiasa tenang dan berhemah terutama apabila berhadapan dengan situasi yang berbentuk provokasi," ujarnya.
#PerakKini #PDRM #bantu #PRN #Kelantan #RBZ