Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja berbangsa India 17 tahun yang kali terakhir dilihat dirumahnya hampir dua minggu lalu.
Difahamkan remaja itu tinggal bersama keluarga angkat dan baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Remaja itu juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga angkatnya itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan yang dikenali sebagai Gayatri pada 11 April lalu beralamat terakhir di Jalan Pasir Puteh di sini.
Menurutnya, remaja berbadan gempal dan berkulit gelap itu kali terakhir dilihat di rumah keluarga angkatnya pada malam 8 April lalu.
"Hebahan orang hilang telah dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi mengesan wanita itu.
"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Rafidah Abdul Rashid di talian 013-731 2477 atau menghubungi IPD Ipoh di talian 05-245 1500,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
#PerakKini #PDRM #IPDIpoh #oranghilang #RBZ