IPOH - Polis giat memburu individu yang didakwa bermain mercun dari balkoni sebuah pangsapuri di Meru seperti yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya ada menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu dan kes disiasat dibawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 4 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 iaitu membakar mercun sehingga mendatangkan mudarat awam.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan IPD Ipoh Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat yang menunjukkan seorang lelaki sedang menyalakan mercun di balkoni dari tingkat 20 pangsapuri tersebut.
Berdasarkan hantaran video tersebut, kejadian bermain mercun itu dikatakan berlaku di tingkat 20, Residensi PR1MA Meru di sini.
#PerakKini #PDRM #tular #main #mercun #pangsapuri #RBZ