LaraMag

collapse
Home / JENAYAH / Polis bongkar rumah dijadikan makmal haram proses dadah, tahan dua adik beradik

Polis bongkar rumah dijadikan makmal haram proses dadah, tahan dua adik beradik

Jan 11, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Polis Perak berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah yang dipercayai kurang sebulan beroperasi dan merampas lebih 55 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM665,782 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampar, Isnin lalu. Menerusi serbuan itu, polis turut menahan dua adik beradik lelaki masing-masing penganggur berusia 44 dan 45 tahun. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Isnin lalu lebih kurang jam 4 petang. "Dalam operasi ini, polis berjaya merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 40.135 kg, kafien 11.05 kg dan cecair disyaki dadah 4.0 kg yang bernilai RM665,782. "Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Disember lalu dan semua dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh 85,000 penagih dadah," katanya pada sidang media di IPK Perak hari ini. Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan pembungkusan serta stor simpanan, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama sekitar negeri Perak. "Semakan mendapati dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati positif dadah jenis morfin. "Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 10 hingga 16 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya. Dalam operasi itu, katanya, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM50,000 di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM715,782. "Kita percaya masih ada rakan sepenjenayah yang masih bebas dan pihak JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket ini," katanya Justeru, Mohd Yusri meminta masyarakat terus cakna dan membantu polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. #PerakKini #PDRM #dadah #rampasan #Kampar #Perak  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.