IPOH - Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang menjalankan siasatan di sebuah kawasan rekreasi dan perkelahan di Sungkai berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dijangkiti bakteria sehingga mengalami ruam kulit selepas mandi di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kakitangan PKD itu telah digerakkan ke lokasi kawasan berkenaan pagi tadi bagi menyiasat punca sebenar.
"Respons awal PKD mendapati kawasan berkenaan mematuhi segala prosedur kesihatan untuk beroperasi sebelum ini.
"Laporan lengkap akan menyusul setelah PKD selesai melakukan siasatan," katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.
Seorang pengguna Twitter Elle Fara dalam ciapannya sambil memaparkan gambar keadaan kulit kanak-kanak itu menulis, doktor memaklumkan punca ruam itu disebabkan virus dari kolam air panas yang mereka pergi minggu lalu. - BERNAMA