LaraMag

collapse
Home / UMUM / Perhilitan Perak terima 47 aduan berkaitan isu gajah liar

Perhilitan Perak terima 47 aduan berkaitan isu gajah liar

Aug 27, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima 47 aduan berhubung pelbagai isu membabitkan gajah liar sejak awal tahun ini sehingga semalam. Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata aduan itu termasuk dua kes pada bulan ini di Kampung Katong Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar dan berhampiran Lebuhraya Gerik yang mendatangkan kecederaan kepada manusia berpunca daripada haiwan berkenaan. Menurutnya, Perhilitan akan segera bertindak jika menerima sebarang aduan berkaitan gajah liar daripada orang ramai. "Setiap kali jika ada aduan kita akan pergi (ke lokasi) sama ada untuk menghalang atau membuat tangkapan (gajah). "Bagaimanapun, benda dah rosak (disebabkan serangan gajah) memang tidak boleh nak dielakkan, tetapi Pengarah Perhilitan Perak dan kakitangannya sentiasa prihatin (bagi membantu menyelesaikan aduan yang diterima)," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berendoi Baby Hippo Jiwang dan Juwita di Taman Tema Sunway Lost World of Tambun hari ini. Dalam perkembangan sama, Abdul Kadir berkata Pasukan Unit Tindakan Gajah (UTG) sentiasa bersiap sedia jika berlaku sebarang aduan membabitkan gajah liar ini. "Kita ada pasukan gajah di Teluk Gandah, di Perak, Johor, kadang-kadang kita panggil semua pasukan untuk selesaikan. Masalah bukan di Perak sahaja malah di Kelantan pun ada dan kita akan ambil tindakan seberapa cepat yang boleh (bagi mengatasi masalah gajah liar itu), "katanya. Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan laluan gajah liar supaya jangan mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku. #PerakKini #Perhilitan #gajahliar #Perak

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.