Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang dua perangkap bagi menjejak harimau, pada Rabu susulan aduan penduduk berhubung kehadiran haiwan liar itu di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor baru-baru ini.
Pengarahnya, Yusoffy Shariff berkata pihaknya kini giat melakukan rondaan dan kawalan bagi menghalau harimau berkenaan masuk semula ke hutan.
"Kakitangan Unit Harimau Malaya dari Perhilitan Perak melakukan rondaan dan kawalan serta berusaha menghalau harimau berkenaan masuk semula ke Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bukit Kinta yang bersambung dengan HSK Korbu.
"Dalam masa yang sama kami pasang dua perangkap bagi menghadapi kemungkinan sekiranya harimau itu masih berlegar di kawasan Chemor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Yusoff turut menasihati penduduk supaya tidak pergi ke ladang bersendirian pada awal pagi dan balik sebelum suasana gelap serta tidak melakukan provokasi sekiranya bertembung dengan haiwan liar tersebut.
"Selain itu, jangan memasang jerat, membuat unggun api atau memakai bau bauan ketika berkebun.
"Binatang ternakan seperti lembu dan kambing hendaklah di kurung di dalam kandang yang berpagar dengan sempurna," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut meminta orang awam memaklumkan segera kepada Perhilitan sekiranya melihat individu atau kumpulan yang meragukan seperti ingin memburu.
Semalam media melaporkan Perhilitan Perak menerima aduan kejadian tersebut di Tanah Hitam pada 17 Januari lepas manakala di Ulu Kuang pada 26 Januari lalu.
#PerakKini #harimau #TanahHitam #UluKuang #Chemor