Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Sambutan Hari Kebangsaan tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana ideologi politik memandangkan ia adalah sambutan yang diadakan di peringkat negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata tindakan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan tema Hari Kebangsaan di empat negeri di bawah jajahan mereka dilihat bersifat politik semata-mata.
Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan adalah penting bagi meraikan seluruh rakyat Malaysia dengan semangat perpaduan dan kenegaraan.
"Jadi adalah satu yang sangat khilaf apabila terdapat pihak yang mewujudkan tema Hari Kebangsaan berasingan.
"Justeru, saya berharap perkara itu tidak perlu diteruskan dan kita perlu hormati semangat federalism serta tidak pecah-belahkan masyarakat sedemikian rupa," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN berbeza dengan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza tahun ini.
#PerakKini #HariKebangsaan #PerikatanNasional #logo #tema #berbeza #RBZ