LaraMag

collapse
Home / UMUM / Perak wujudkan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Domisiliari Paliatif

Perak wujudkan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Domisiliari Paliatif

Feb 28, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Perak mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Domisiliari Paliatif (EDPCC) yang pertama di negara ini untuk pesakit menghidap penyakit kronik atau boleh membawa maut mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di rumah secara percuma. Perkhidmatan ini dilaksanakan bagi membantu pesakit dan keluarga mereka dengan mengurangkan tahap kesakitan dan gejala lain yang disebabkan oleh penyakit kanser atau penyakit lain yang mengancam nyawa. Selain itu, ia turut menjalankan penilaian holistik yang meliputi aspek kerohanian, psikologi dan sosial di dalam perawatan serta mewujudkan sistem sokongan kepada pesakit dan keluarga pesakit sehingga meninggal dunia. Pengarah Kesihatan Perak, Dr Sirajuddin Hashim berkata EDPCC yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu ini membantu menampung peningkatan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan PPD paliatif. Menurutnya, pusat yang terletak di Klinik Komuniti Tawas itu, setakat ini mempunyai empat petugas iaitu pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat yang diketuai Pakar Perubatan Keluarga Dr Yong Kui Choon. "Seramai 60 pesakit sudah mendapatkan perkhidmatan ini dan lebih 130 lawatan rumah telah dilakukan sejak ia mula beroperasi Oktober lalu. "Kebanyakan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan ini terdiri daripada pesakit strok, pesakit melibatkan buah pinggang dan pesakit jantung, selain kanser iaitu penyakit tidak berjangkit. "Setakat ini, projek inovatif berkenaan hanya beroperasi di daerah Kinta dan kita berharap ia dapat dijadikan model kepada negeri lain untuk melaksanakannya. "Kita juga akan tengok sama ada boleh dikembangkan ke daerah lain di Perak seperti di Kuala Kangsar dan Taiping yang memerlukan perkhidmatan paliatif secara komprehensif," katanya. Beliau berkata kepada media selepas merasmikan EDPCC di sini Klinik Komuniti Kampung Tawas di sini, pada Selasa. #PerakKini #KKM #paliatif #sakitkronik #penjagaan #holistik #RBZ      

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.