LaraMag

collapse
Home / UMUM / Perak sudah bersedia terima pelancong

Perak sudah bersedia terima pelancong

Oct 07, 2021  Admin Perak Kini  1,508 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah bersedia untuk  menerima kemasukan pelancong sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti merentas negeri apabila sasaran 90 peratus kadar vaksinasi dewasa tercapai dalam masa terdekat. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, setakat ini MBI sudah mengatur pelbagai perancangan dan perkara-perkara infrastruktur asas bagi menangani masalah infrastruktur di bandar raya ini. Katanya, projem infrastruktur yang dilaksanakan di sekitar bandar raya Ipoh seperti di hadapan Mahkamah Tinggi dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dijangka akan diselesaikan pada 31 Julai tahun hadapan. "Jika dalam masa seminggu dua ini pun keputusan kerajaan (kebenaran rentas negeri), bandar raya Ipoh sudah sedia untuk menerima pelancong. Itu sahaja yang saya boleh komen," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MBI bersama Syarikat Ain Bina Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd mengenai pembinaan jalan utama Meru Raya-Klebang dan disaksikan Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Rabu. Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MBI telah merancang dan melaksanakan sebahagian besar aset-aset pelancongan yang akan disiapkan dalam bulan Oktober dan hujung tahun ini. "Antaranya termasuklah ‘Light and Sound’ di Padang Ipoh, Kinta Riverwalk, sebahagian Taman D R Seenivasagam dan Taman Jepun, Gunung Lang, Gunung Matsoorat dan Taman Kanak-kanak," ujarnya.

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.