LaraMag

collapse
Home / UMUM / Perak antara negeri tertinggi terima peruntukan KPKT sebanyak RM68 juta

Perak antara negeri tertinggi terima peruntukan KPKT sebanyak RM68 juta

Sep 04, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Perak menjadi antara negeri tertinggi menerima peruntukan pembangunan infrastruktur awam sebanyak RM68 juta daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu sebagai sokongan untuk melaksanakan projek pembangunan di 15 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di negeri ini. "Setakat ini, KPKT melalui JKT telah meluluskan 29 projek untuk dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan peruntukan sebanyak RM10.16 juta. "KPKT melalui JKT sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian kepada media ketika Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Medan Selera Taman Perpaduan di sini pada Isnin. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Muhammad Razman Abu Samah dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching. Dalam pada itu, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.73 kepada MBI dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam dan penggantian lif sekitar Parlimen Tambun. Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM4.95 juta diperuntukan untuk antaranya termasuk menaik taraf serta mengganti longkang, lampu jalan, menurap jalan dan pasar. "Peruntukan itu diluluskan untuk projek-projek menurap jalan, naik taraf longkang, dewan orang ramai dan pasar serta baik pulih pagar di kampung baru dalam Daerah Hulu Kinta seperti Kanthan Baru, Tanah Hitam, Chemor, Changkat Kinding dan Kuala Kuang,"katanya. Terdahulu, beliau turun padang meninjau keperluan kemudahan awam serta infrastruktur di Pasar Tanjung Rambutan, Kolam Takungan Jalan Putra Pertama, Bandar Baru Tambun, Taman Rekreasi Woodland dan Dewan Komuniti Taman Perpaduan. #PerakKini #KPKT #MBI #LPHP #Perak #Tambun #RBZ

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.