LaraMag

collapse
Home / UMUM / Perak akan perhalusi cadangan letak mesin layan diri tuala wanita di sekolah rendah

Perak akan perhalusi cadangan letak mesin layan diri tuala wanita di sekolah rendah

Feb 09, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Perak akan memperhalusi cadangan untuk menempatkan mesin layan diri sanitari di lokasi strategik termasuk sekolah rendah sebagai salah satu cara bagi menangani isu kemiskinan haid di negeri ini. Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed berkata inisiatif awal membasmi kemiskinan haid ini perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah memandangkan murid-murid terbabit masih kurang pendedahan berhubung perkara itu. Menurutnya, sebelum ini hanya sekolah menengah yang menyediakan kemudahan mesin layan diri sanitari manakala sekolah rendah tidak disediakan keperluan tersebut. "Kalau dulu proses kedatangan haid bertumpu kepada pelajar sekolah menengah, tapi rata-rata bila saya tanya pelajar bila datang (haid) sekolah rendah mereka sudah mula datang. "Justeru, kita akan perhalusi adakah ia satu keperluan terdesak (meletakkan mesin sanitari layan diri di sekolah rendah) dan kita akan bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar. Pada program itu, seramai 150 pelajar menerima bantuan 'one-off' kit sanitari termasuk tuala wanita yang boleh digunapakai sehingga empat tahun. Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah berkata pada tahun ini PROKIS akan memperluaskan program tersebut di 12 daerah sekitar Perak dengan menumpukan penerima dari kalangan pelajar yang layak melalui kerjasama bersama JPN. "Melalui program itu, kita akan menjalankan kajian terhadap pelajar sekolah bagi mengumpul data untuk melihat sejauh mana kemiskinan haid berlaku," ujarnya. #PerakKini #PROKIS #mesinlayandiri #tualawanita #sekolahrendah #RBZ  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.