Oleh Rosdalilah Zahari
TAIPING - Seorang peniaga kantoi selepas Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu kedai dan menyita 156 kilogram (kg) gula pasir putih bertapis kasar yang dipercayai cuba disoroknya di Taman Kaya, Taiping, semalam.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan itu dilakukan susulan aduan orang awam yang menyatakan peniaga terbabit menyorok dan mengenakan syarat untuk membeli gula di kedai berkenaan.
"Berikutan aduan tersebut, pegawai penguat kuasa bertindak melakukan penyamaran sebagai pembeli dan cuba membeli gula di premis itu, sebelum diberitahu bahawa gula sudah habis dijual.
"Sebaik mendapat maklumat berkenaan, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform memasuki premis dan membuat pemeriksaan serta meminta peniaga melakukan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 kira-kira jam 11 pagi.
"Hasilnya sebanyak 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang tidak diisytiharkan telah dijumpai di premis tersebut.
"Semua barang kawalan gula berjumlah 156kg disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM446," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
#PerakKini #KPDN #rampas #gula #Taiping #RBZ