LaraMag

collapse
Home / UMUM / Pengusaha premis kotor di Ipoh yang masih 'degil' akan diheret ke mahkamah

Pengusaha premis kotor di Ipoh yang masih 'degil' akan diheret ke mahkamah

Jan 31, 2023  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak teragak-agak mengambil tindakan mengheret pengusaha premis makanan ke mahkamah kerana gagal menjaga kebersihan dengan baik terutamanya ketika Tahun Melawat Ipoh 2023. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata bagaimanapun, tindakan itu hanya akan dilakukan jika pengusaha premis masih tidak mematuhi nasihat yang diberikan penguatkuasa di atas kesalahan tersebut. Menurutnya, setiap hari MBI menjalankan penguatkuasaan secara rawak terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan premis makanan sentiasa bersih dan berada dalam keadaan baik. "Kalau boleh strategi kita nak nasihat dulu. Kalau degil baru kita ambil tindakan tegas. "Jika ada keperluan untuk ke mahkamah, kita akan buat. Kali ini kita perlu tegas. Kita tidak mahu jadi seperti 'kerana setitik, rosak susu sebelanga' hanya disebabkan satu kedai kotor, kemudian viral satu Malaysia orang kata semua peniaga di Ipoh ini pengotor. "Walhal mungkin satu atau dua peratus sahaja yang berbuat demikian manakala 90 peratus lagi peniaga yang ada okey," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini, pada Selasa. Sementara itu, dalam ucapan ketika mesyuarat berkenaan, Rumaizi memaklumkan pada tahun 2022, sebanyak 429 tawaran kompaun dengan jumlah nilai RM78,300 dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 dan undang-undang lain yang berkaitan. "Kebersihan dan keselamatan makanan akan terus dipantau oleh MBI dari semasa ke semasa bagi memastikan makanan yang di proses, dipamer, dihidangkan serta dijual kepada pelanggan dan pelancong selamat untuk dimakan," jelasnya. #PerakKini #MBI #premis #makanan #kotor #nasihat #mahkamah    

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.