Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - 'Pengkid' yang tular di media sosial berihram di Tanah Suci ketika menunaikan umrah baru-baru ini tidak berurusan dengan 35 syarikat khidmat agensi umrah yang bernaung di Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ).
Presidennya, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata hasil daripada maklumat awal yang diperolehi wanita berperwatakan lelaki itu dipercayai menunaikan umrah DIY (secara sendiri).
"Dari sudut hukum, seorang pengkid adalah perempuan jadi dalam keadaan dia memakai ihram menampakkan aurat ia menjadi haram dan tidak sah perjalanan tawaf itu.
"Jadi di pihak PUHAZ kita selalu beri peringatan kepada jemaah adalah lebih baik pergi dengan agensi pelancongan agar ada pemantauan dan garis panduan yang betul terutamanya dari sudut hukum," katanya.
Beliau berkata pada sidang media khas berhubung isu penerbangan jemaah umrah tertangguh di Bandar Meru Raya, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Agung PUHAZ, Abdul Jabbar Abdul Kahar.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Ali Sabri menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil pihak berwajib bagi mengekang perkara yang tidak baik serta dilarang oleh agama Islam.
"Kita (PUHAZ) menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu (pengkid pakai ihram) ini," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah memohon pihak terbabit menyiasat kes tular seorang pengkid berihram di tanah suci.
Idris menegaskan, tindakan itu perlu kerana isu berkenaan membabitkan hukum agama.
Justeru itu, beliau meminta bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial itu, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.
Kisah pengkid berpakaian ihram memaparkan dia berjalan ke arah Raudhah ketika mengerjakan umrah ini hangat diperkatakan selepas videonya tular media sosial beberapa hari lalu.
Difahamkan, wanita yang berasal dari Bota, Perak itu pernah memperdaya beberapa wanita sehinggalah penipuannya terbongkar melalui video berkenaan.
#PerakKini #PUHAZ #pengkid #ihram #Malaysia