Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa tampil bagi menyiasat kelewatan projek tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) yang sepatutnya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada tahun 2020.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya menggesa PAC untuk berbuat demikian bagi mengelakkan kes dihadapi kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, berulang. Menurutnya, sepanjang projek itu dilaksanakan terdapat beberapa isu timbul antaranya pemberian kontrak kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE) yang dikatakan tidak mempunyai kepakaran dalam pembinaan kapal. "Bagaimana anugerah kontrak ini boleh dibuat secara runding terus? TH Heavy Engineering Berhad ada beberapa masalah, antaranya ia bukan pakar dalam pembuatan kapal. "Maka berlakulah kerjasama di antara TH Heavy yang memiliki 49 peratus pegangan dan satu syarikat iaitu Destini Sdn Bhd yang memiliki 51 peratus pegangan di dalam projek ini "Ketika itu, Pengerusi Tabung Haji adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Beliau mendapat kontrak ini secara terus melalui surat yang dikeluarkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak," dakwanya. Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung isu itu di Jelapang Square, pada Jumaat. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor. Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid memaklumkan bahawa THHE Berhad diberi kontrak pada 2017 dan mempunyai tempoh tiga tahun untuk menyiapkan kapal berkenaan, tetapi sehingga kini APMM masih belum menerimanya. "Saya mahu siasatan bebas dibuat. PAC boleh buat sama macam LCS, dari situ kita boleh tahu apa terma kontraknya," katanya. Beliau turut mempersoalkan daripada RM738.9 juta nilai projek itu, RM500 juta sudah dibelanjakan namun 'bayang' kapal pun tiada sehingga hari ini. Sebelum ini media melaporkan APMM difahamkan akan menerima sebuah kapal OPV pada Ogos setelah kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat THHE Berhad untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan. Bagaimanapun, pada Jun lalu APMM memaklumkan agensi itu tidak menerima kapal OPV ekoran beberapa masalah tertentu. Menurut laporan itu, THHE Berhad yang diklasifikasikan sebagai PN17 kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang sebanyak RM165 juta, namun memiliki aliran tunai RM27.5 juta untuk membantunya menyiapkan kapal OPV berkenaan. #PerakKini #kapalOPV #APMM #PAC #siasat #THHEBerhad #Malaysia