Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Tambun tidak gentar dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Pemuda BN Tambun, Faridzul Azlan berkata Pemuda BN Tambun sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja dari parti lain yang berhasrat untuk menentang BN di semua kerusi yang dipertandingkan di sini termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan Hulu Kinta.
"Tiada istilah mengalah sebelum bertempur dalam kamus perjuangan Pemuda BN Tambun. Kami akan tetap meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada rakyat khususnya di Tambun.
"Kami yakin pengundi di Tambun bijaksana dalam menilai calon yang layak untuk mewakili mereka dan pastinya mereka akan memilih calon BN yang benar-benar akan dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran buat mereka semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mengajak seluruh pengundi di Tambun untuk menolak calon lompat kawasan seperti Anwar yang bukan hanya tidak setia pada rakyat yang diwakilinya, malah hanya bertanding demi kepentingan politik peribadi bukannya untuk berbakti kepada rakyat.
"Kami berpendapat bahawa rencana Anwar diletakkan sebagai calon di Parlimen Tambun adalah satu perangkap yang dipasang oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menguburkan riwayat politik Anwar.
"InsyaALLAH, dengan ke hendak ALLAH segala gerak kerja yang telah diterjemahkan oleh Pemuda BN Tambun akan membantu dalam memastikan calon-calon BN di Tambun menang pada PRU15 nanti," ujarnya.
Semalam Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022, mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun pada pilihan raya akan datang
#PerakKini #PRU15 #Parlimen #Tambun