Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Pemandu lori dan isterinya bersama seorang lagi ahli keluarga yang aktif dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan di rumah mereka di Jelapang, petang kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam operasi jam 3 petang itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak merampas sejumlah dadah jenis heroin seberat 10,713 gram dianggarkan bernilai RM88,917.90 yang ditemui dalam kereta di kawasan rumah tersebut.
Katanya, turut ditahan dalam operasi itu adalah adik perempuan kepada isteri pemandu lori yang berusia 19 tahun.
"JSJN Perak turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita 22 unit barang kemas, tiga buah kenderaan terdiri daripada lori, kereta dan motosikal yang nilai anggaran keseluruhan harta disita adalah RM192,168.
"Peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dua suspek iaitu pasangan suami isteri berusia 30 dan 27 tahun itu positif dadah jenis morphine.
"Manakala hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah," ujarnya.
Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak September 2022.
"Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak dan boleh menampung 15,000 orang penagih.
"Kes ini disiasat di bawah seksyen 398 ADB 1952," jelasnya.
Mohd Yusri berkata dua suspek direman selama enam hari manakala adik perempuan mereka direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
#PerakKini #PDRM #JSJN #Perak #dadah #heroin #RBZ