Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Seramai lapan lelaki termasuk dua pelajar kolej ditahan dan 37 motosikal disita dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di Jalan Pasir Puteh berhampiran Station 18, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata lapan lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .
Menurutnya, sepanjang operasi yang bermula dari jam 12 tengah malam dan berakhir enam jam kemudian itu berlangsung, sebanyak 185 buah motosikal dan 258 orang individu diperiksa.
"Sebanyak 391 keping saman trafik pelbagai kesalahan juga dikeluarkan kepada jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Yahaya berkata hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh AADK mendapati tiga lelaki positif dadah jenis methamphetamine.
"Ketiga-tiga suspek warga tempatan berumur antara 24 hingga 32 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998)," jelasnya.
#PerakKini #PDRM #AADK #matrempit #samsengjalanan #RBZ