LaraMag

collapse
Home / UTAMA / PEJA GILA JAWATAN MENTERI BESAR?

PEJA GILA JAWATAN MENTERI BESAR?

Dec 08, 2020  Admin Perak Kini  3,580 views
Oleh MUBIN SALEH DUA tiga hari ini, begitu ramai rakan taulan yang datang berjumpa dan berhubung bagi menzahirkan sokongan dan kata-kata semangat, berikutan situasi politik di Perak mutakhir ini. Alhamdulillah, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan pada semua atas doa dan ingatan. Pada masa yang sama, tidak kurang juga ada beberapa rakan lama yang mengusik, ‘padan muka’ , ‘ambil kotak kemas pejabat ’ ‘pengkhianat kena khianat’ dan bermacam-macam lagi. Terima kasih juga saya ucapkan atas keprihatinan rakan-rakan tersebut. Mungkin rakan-rakan yang mengusik ini beranggapan, bahawa inilah balasan yang patut kami terima kerana meninggalkan PH suatu ketika dulu. Kononnya, kami ini tinggalkan PH kerana tamakkan kuasa dan risaukan hilang kedudukan dan tempat. Jika sahabat-sahabat masih ingat lagi, sejurus meninggalkan Pakatan Harapan Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah meletakkan jawatannya selaku Menteri Besar Perak ke 12. Ketika itu tiada siapa pun tahu siapakah bakal dilantik Menteri Besar Perak. Keadaannya sama seperti sekarang ini, kecoh sana sini siapakah bakal dilantik sebagai MB. Masih teringat lagi, sewaktu kekecohan pada waktu itu, saya sendiri telah dinasihat oleh beliau, “Tak perlu fikirkan sangat pasal siapa bakal dilantik, kalau kita terlalu fikir atau beria-ia sangat pasal jawatan, ada la yang tidak betul dengan diri kita”. https://www.astroawani.com/berita-politik/faizal-azumu-letak-jawatan-mb-kerajaan-perak-bubar-serta-merta-233122?amp=1 ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG Dengan izin Allah Swt, setelah diperkenan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, beliau sekali lagi telah diangkat menjadi Menteri Besar Perak ke 13 bagi memimpin kerajaan Perikatan Nasional Perak. Oleh itu, tuduhan rakan-rakan seperjuangan lama bahawa beliau meninggalkan PH atau Tun Dr Mahathir kerana tamakkan kuasa mahu kekal sebagai Menteri Besar atau pun apa-apa kedudukan adalah tidak benar sama sekali. Malah, beliau telah mengorbankan kedudukannya pada waktu itu bagi usaha pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak. Walaupun ‘begitu tinggi harga yang perlu dibayar’ untuk usaha ini, namun keputusan meninggalkan PH Perak dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional di negeri ini adalah suatu keputusan yang tepat dan perlu dilakukan berdasarkan pengalaman yang telah kami (BERSATU) lalui sepanjang bersama pihak tersebut. Pelbagai pengalaman bersama PH itu tidak perlulah diceritakan di sini kerana rakyat terbanyak sendiri tahu kisahnya dan bijaksana menilainya. https://peraktoday.com.my/2018/08/dap-tetap-mahu-kerajaan-perak-lulus-hak-milik-tanah-999-tahun/amp/ DISERANG KIRI DAN KANAN Seperti yang umum ketahui, kepakaran utama Pakatan Harapan yang telah kami tinggalkan itu ialah menjadi pembangkang. Antara rutin tugasan harian pembangkang ialah mencari dan menampakkan kelemahan kerajaan. Asas utama untuk melemahkan ialah memecahbelahkan. Percayalah, mereka ini terutamanya DAP amat pakar dalam bidang memecah-belahkan orang kita yang telah mereka pelopori sejak puluhan tahun. Orang kita pula yang baru belajar semula betapa pentingnya penyatuan tidak sampai setahun, begitu ‘cerdik’ memberi bola tanggung kepada mereka. Dua hari lalu, parti DAP, PKR dan Amanah telah secara terbuka mengumumkan kesediaan untuk membentuk kerajaan bersama dengan UMNO di negeri Perak ini. Kami (BERSATU) dahulu dilabel ‘pengkhianat mandat rakyat’ kerana bersama UMNO dan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional. Sekadar bertanya pada rakan-rakan lama yang setia bersama PH, kesediaan PH Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan bukan satu pengkhianatan mandat rakyat kah? Begitu juga sewaktu kami berada bersama DAP, Amanah dan PKR melawan kerajaan pimpinan Najib dahulu. Siang dan malam kami dituduh sebagai pengkhianat melayu oleh para pemimpin UMNO kerana berkawan dengan PH. Tapi baru-baru ini di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak, ADUN-ADUN dari UMNO boleh pula berganding bahu bersama dengan ADUN-ADUN PH dalam gerakan menurunkan Menteri Besar yang sekaligus menjatuhkan kerajaan yang sedang dipimpin bersama. Malah, di awal persidangan dewan, ADUN Temenggor (UMNO) dan ADUN Pinji (DAP) telah membawa usul yang serupa niat dan tujuannya iaitu memohon Speaker Dewan supaya diawalkan usul percaya tersebut berbanding usul-usul lain. Akhirnya, hasil gerakan yang bersungguh-sungguh, tersusun dan teratur rapi oleh UMNO-PH ini, gerakan menjatuhkan MB dari BERSATU telah pun berjaya. Pelbagai alasan yang direkacipta untuk menghalalkan gerakan UMNO-PH Perak ini. Kalau hendak mengetahui apa alasannya, rajin-rajinlah melayari page FB seorang individu ini yang sedang berjuang bermati-matian diperingkat Mahkamah Rayuan setelah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Individu yang telah disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan salah guna kuasa ini adalah individu pertama yang menjadi benteng pertahanan bagi gerakan UMNO-PH ini. NILAI SEBUAH PERSAHABATAN Sebenarnya, telah lama disedari ketidakpuashatian pimpinan UMNO Perak pada BERSATU ini walaupun setelah bersama dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional. Pengerusi UMNO Perak sendiri pernah memberi satu kenyataan yang seakan tidak menghormati rakan gabungan dalam kerajaan Perikatan Nasional, bila mana pernah mencadangkan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia dibubarkan. Saya bingung memikirkan pada waktu itu, bagaimana seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan ( EXCO Kanan) kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi Bersatu Perak, boleh menzahirkan cadangan sebegitu. Tidak ada sedikitkah rasa untuk menjaga hubungan dengan kami yang menghulurkan tangan untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan. Namun bila mengenangkan hubungan yang terbina ini (BERSATU-UMNO) masih diperingkat awal pada waktu itu, dilupakan sahaja perkara itu sebegitu sahaja tanpa mengesyaki apa-apa sambil mengharapkan hubungan ini akan semakin pulih dan bertambah erat. Saya sendiri tidak ambil pusing ketika insiden diboo oleh Pemuda UMNO semasa menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN di PRK DUN Slim yang lalu. Apalah sangat insiden kecil itu berbanding memelihara hubungan ketiga-tiga parti Melayu ini demi kesejahteraan agama, rakyat dan tanah air. Sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar hubungan antara ketiga-tiga parti ini yang tidak jauh beza matlamat perjuangannya akan semakin kukuh dan erat. Namun malangnya, sudah terlewat untuk menyedari bahawa begitu berlawanan tujuan dan nilai persahabatan ini pada mereka. Rupa-rupanya begitu kecil nilai kita pada pandangan mereka sehinggakan Timbalan Presiden kita diperlaku sebegitu rupa..Allahuakhbar! Tiba-tiba pula, setelah tinggal selangkah sahaja lagi hendak mencapai kehendak menduduki tampuk kuasa, barulah terbit kata-kata betapa pentingnya menjaga hubungan sesama kita. PAS dan BERSATU perlu bersama bagi membentuk kerajaan katanya. BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL Pada hemat saya, ini adalah kali kedua beliau perlu membuat keputusan besar sepanjang kariernya yang ditakdirkan menjadi antara pemimpin utama di negara ini. Jika sebelum ini beliau terpaksa meninggalkan insan yang paling dikaguminya Tun Dr Mahathir Mohamad kerana amanah dan tanggungjawab yang terletak dipundaknya, kini sekali lagi beliau perlu membuat keputusan yang pastinya pada pandangan kita orang biasa ini tidak adil buat dirinya. Semoga Allah Swt memberi kekuatan pada Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu. https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/12/762490/bersatu-perak-sokong-calon-mb-dari-umno PENGALAMAN BERMAKNA “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;” Surah Al-Mulk ayat 1 Walau apa pun, semua ini berlaku atas izin dan kehendak Dia Yang Maha Berkuasa jua. Pasti ada hikmah disebalik semua yang telah berlaku ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar kemelut politik yang melanda negeri Perak ini selesai dengan baik dan aman. Rakyat pastinya tertanya-tanya, apakah pengakhiran kemelut ini di kala mereka sedang berhadapan wabak penyakit yang mengancam nyawa, merencatkan ekonomi dan mengubah kehidupan mereka. Moga dipermudahkan segalanya. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, memberi sokongan serta tunjuk ajar sepanjang saya menjalankan tanggungjawab di Pejabat MB Perak. Mohon ampun maaf andai ada khilaf dan kekurangan saya sepanjang menjalankan tugasan dan amanah. Segala yang baik itu datangnya dari Allah Swt jua, yang buruk itu pastinya dari diri saya sendiri, hambaNya yang lemah serta serba kekurangan. Salam hormat dari saya buat semua. Terus berjuang! Mubin Salleh. Perak Kini 2021

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.