LaraMag

collapse
Home / UMUM / Ops HRAA 2022: Anggota JPJ menyamar jadi penumpang, enam pemandu bas disaman

Ops HRAA 2022: Anggota JPJ menyamar jadi penumpang, enam pemandu bas disaman

Jul 09, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Taktik penyamaran yang digunakan penguat kuasa  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak membuahkan hasil apabila enam pemandu bas disaman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRRA) 2022 bermula Khamis lalu. Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata sebanyak 12 saman dikeluarkan ke atas pemandu bas terbabit dalam operasi yang diadakan selama dua hari itu. Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, melanggar lampu isyarat merah dan gagal mengemukakan lesen memandu awam semasa diperiksa. "Selain itu, kesalahan lain yang turut dikesan termasuklah merokok, tidak memakai kasut dan berbual semasa memandu," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media ketika hadir meninjau Ops Hraa 2022 di Hadapan Institut Memandu Sri Perak, Meru di sini malam tadi. Mohammad Yusoff berkata, JPJ Perak menggerakkan empat pasukan bagi melakukan penyamaran bas ekpress di seluruh negara. "Kami bertanggungjawab bagi memastikan penumpang selamat sampai ke destinasi, kesalahan mereka ini boleh mengancam keselamatan para penumpang. "Setiap pemandu bas ekpress sepatutnya sudah mengetahui undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 1,231 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dalam operasi yang berlangsung bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi. "Daripada jumlah itu, sebanyak 235 kenderaan diambil tindakan dengan 312 notis saman pelbagai kesalahan undang-undang dikeluarkan. Antara kesalahan tertinggi yang dikesan adalah tiada lesen memandu kenderaan," ujarnya. Katanya, seramai 154 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi tersebut membabitkan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). #PerakKini #HRAA2022 #JPJ #PDRM #AADK #Rela #Ipoh  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.